Tuesday, November 29, 2011

believe in fate


...bismillah...


Rukun iman keenam ialah beriman dengan qada’ dan qadar Allah.

Luas maksudnya, dalam pemahamannya. Rasa hati kadang tak seiring sehaluan dengan takdir Allah, dan saat itulah sebenarnya rukun yang keenam ini diuji. Manusia, berkata-kata sememangnya di hujung lidah, tapi bagi membentuk sekeping hati memerlukan kekuatan yang utuh.

Takdir Allah, pasti yang terbaik untuk hambaNya. Setiap yang berlaku pasti ada sebab musababnya yang mana ianya datang dari Allah jua. Baik, buruk kehidupan insan, Allah jua pengaturnya. Siapa kita sang hamba untuk menidakkan apa yang ditetapkan? Siapa kita sang hamba untuk membetulkan apa yang dah berlaku? Siapa kita sang hamba untuk menyesali tiap apa yang sudah ditetapkan?

Namun, itulah manusia. Sentiasa mengeluh dengan apa yang ada. Sentiasa mencari mana kurangnya sebuah kehidupan sebelum akhirnya menyedari ianya datang dari Allah. Dan kemudian, kembali menyalahkan takdir dengan apa yang berlaku, sebelum sekali lagi hati menuturkan keinsafan, kerana berburuk sangka dengan Allah.

Namun, Allah sebagai tuhan pencipta sekalian alam, tak pernah merungut dengan sikap hambaNya. Saat kita alpa dengan keberadaanNya, Dia hadiahkan ujian yang akhirnya membawa kita kembali pada kasihNya. Saat kita terleka dengan kekuasaanNya, Dia hadiahkan air mata untuk dipersembahkan kepadaNya yang akhirnya membawa kita ke pangkuanNya semula.

Daripada Anas bin Malik r.a. berkata, bahawa dia mendengar rasulullah SAW bersabda, bahawa Allah SWT berfirman :

Wahai anak adam, selagi engkau meminta dan berharap kepadaKu maka Aku mengampuni segala dosamu yang telah lalu, dan Aku tidak akan mempedulikannya. Wahai anak adam, jika dosamu sampai setinggi langit lalu engkau minta ampun kepadaKu, nescaya Ku ampuni. Wahai anak adam, jika engkau datang kepadaKu dengan kesalahan seluas permukaan bumi lalu engkau menemuiKu tanpa menyekutukan sesuatu pun denganKu, nescaya Aku datang padamu dengan ampunan seluas bumi pula
( riwayat Tarmizi )

Baikkan Allah? Indahkan aturan Allah? Unikkan cara Allah memujuk hambaNya?
Kadang, ada sebab kenapa kaki kita tersadung dan akhirnya rebah menyembam bumi, ada sebabnya kenapa mata tidak dapat meneliti tunggul di bawah, ada sebabnya kenapa kaki tersilap anggaran melangkah, dan ada jugak sebabnya kenapa tunggul itu mesti berada di situ yang menyebabkan insan rebah mencium tanah.

Kalau kamu membela agama Allah nescaya Allah akan membela kamu untuk mencapai kemenangan dan meneguhkan pendirian kamu
( Muhammad 47:7 )

Janji Allah, janji yang pasti.

~ berbahagialah insan, kerana Allah sentiasa ada bersamamu, selagi mana kau menjaga Allah, insya Allah :D 
__________
"The moment we understand that Allah's decision is always in our best interest,everything will start to make sense"

ya Allah, sedarkan aku sentiasa, ameen,,

No comments: