Tuesday, July 21, 2020

Berbeza.

Untuk yang bernama manusia, harus akur pada takdir dan ketentuannya Dia. Terkadang, aku bingung sendiri. Tentang pilihan. Memilih dan dipilih. Terkadang, aku tertanya sendiri. Apa yang membuatkan seseorang cenderung pada pilihannya, apa lagi jika pilihan itu berbeza dengan apa yang aku fikirkan.

Selalu. Mahu aku selami apa yang tersirat di mindanya mereka, bila sesuatu itu bagiku tidak akan menjadi pilihan diri. Yang dekat, kenapa si dia memilih aku sebagai isteri? Padahal, dulu aku di tinggalkan, tidak dihargai, melukut merayu hanya picisan. Datang dia, dengan yakin dia lamar aku tanpa banyak alasan. Sekarang, masih lagi aku tertanya. Yang mana, aku sendiri jika diberi pilihan mahu hidup dengan manusia seperti aku atau tidak, jawapannya tidak. Macam mana dia sangat sabar dan sabar dan sabar melayan aku.

Makan di restoran. Ada penjaja yang bawa banyak sangat barang. Sepanjang dia di restoran itu, semua menunjukkan tanda tidak mahu membeli. Apa yang dia fikirkan untuk pilihan sebegitu yang aku tidak akan pilih? Betul, situasi manusia berbeza. Cumanya, hebat Sang Pencipta pelbagai rencah pendapat Dia ilhamkan.

Aku terima, ketidaksamaan itu. Cuma, hati meronta untuk tahu apa yang berlegar di fikiran saat pilihan itu dibuat. Bukan untuk mengkritik, tapi lebih kepada rasa takjub dengan pendapat yang langsung kita tak fikir. Allah ilhamkan. Uniknya manusia, Allah ciptakan.

Bahagia manusia jua berlainan. Macam mana si A bahagia dengan hidup bujang, si B bahagai dengan hidup berpoligami, si C pula bahagia dengan hidup meneroka. Ya, berlainan kan. Namun, itulah yang aku suka untuk meraikan. Subhanallah, uniknya manusia.

Dan macam mana pula dengan sikap yang pada kita sangat mustahil untuk dilakukan, tapi pada dia sangat mudah. Nampak? Walau perkara sama, tapi tak akan pernah sama antara manusia. Tak akan. Walau ujian sama, tapi tak akan pernah sama rasa itu. Tak akan.

Subhanallah.